Isnin, 20 Februari 2012

Mengulas dan Ulasan

Saya memberitahu pelajar- pelajar saya agar mengulas atau komen tentang entri di blog- blog kawan- kawan mereka, namun mereka masih terkial- kial, terutama sekali pelajar Menengah 1. Saya jadi bingung, saya yang sah sudah tua ini masih boleh menggunakan teknologi, tetapi mereka yang muda belia ini macam slow sahaja saya lihat... saya rasa mereka bukan tidak tahu, tetapi berasa janggal dan kekok menggunakan komputer dengan seratus peratus bahasa Melayu. Mereka masih belum boleh melatih jari-jemari mereka menaip kekunci komputer mereka dalam bahasa Melayu. Namun saya tidak mahu mereka berputus asa, saya berjanji sekurang-kurangnya seminggu sekali mereka perlu mengemaskinikan blog dan memuatkannya dengan pelajaran BM mereka. Mari kita lihat bagaimana perkembangan mereka hari demi hari nanti.

Khamis, 16 Februari 2012

Mengapa Saya Pilih Nama Blog ini

Apakah maksudnya Pendita? Menurut Kamus Dewan edisi keempat, pendeta itu maksud pertamanya -merupakan seorang yang berintelek tinggi atau seorang ulama keagamaan Kristian atau Hindu. Saya memilih maksud pertama bahawa seseorang itu perlu berintelek tinggi sebelum dia boleh digelar pendita.

Sebenarnya ramai orang tidak menyangka mereka kadang- kadang melakukan aktiviti serta kelakuan hampir serupa dengan seorang pendita. Pendita itu seorang yang senantiasa suka berfikir, dan dengan berfikir melahirkan idea yang cemerlang dan mungkin membawa manfaat kepada orang lainnya. Pendita itu rajin meluahkan isi hati dan tidak pula jemu mendekati ilmu. Pendita itu seorang yang kaya dengan pengetahuan, pengajaran dan ilmu yang mendalam. Namun adakah cukup dengan ilmu pengetahuan dan kelulusan yang tinggi mencakar langit itu menjadikan seseorang itu seorang pendeita? Adakah sebarang sifat serta sikap lain yang boleh menjadikan seseorang itu seorang yang bergelar Pendita? Jadi saya ingin bertanya, sebenarnya, bilakah seorang itu digelar Pendita, bagaimana beliau boleh dikatakan pendita, dan apakah kita sendiri boleh menjadi seorang pendita? Cubalah kita renungkan bersama.

 Penditakah Socrates?

Penditakah Za'ba ?

Penditakah Steve Jobs?

Mengajak Pelajar Menengah Satu Ber-blog

Semalam saya membawa lima belas pelajar menengah satu untuk berblog dalam bahasa Melayu. Alangkah penatnya saya mengulang- ulang arahan supaya mereka memulakan blog Bahasa Melayu namun setelah dua hari mereka masih terkial - kial dan masih belum tahu selok - belok berblog. Apakah matlamat saya mengajak mereka berblog, selain mengikut kehendak buku teks, saya rasa blog banyak manfaatnya. Objektif utama saya ialah :
1. agar pelajar boleh berasa bahawa BM boleh digunakan dalam alam maya
2. agar pelajar melatih diri menggunakan BM
3. agar pelajar dapat merekod atau merakamkan pembelajaran BM mereka dari menengah 1 hingga  menengah 4.
4. agar pelajar berkeyakinan menulis dan berfikir dalam BM
5. agar pelajar tahu menggunakan BM sebaik- sebaiknya
6. agar pelajar membiasakan diri merakam fikiran, idea dan perasaan.

Nah, dengan ini, tidak dapat disangkal pembelajaran BM ini kelihatan seperti main- mainan sahaja, namun sebenarnya, ia betul- betul mendekatkan hari pelajar kepada nadi pembelejaran bahasa yang baik dan berkesan. Inshallah hasilnya akan dapat dikecapi dalam masa yang singkat sekali...