Tidak dapat dinafikan masa- masa sebelum peperiksaan merupakan masa yang begitu memberi tekanan kepada para pelajar. Tidak kiralah peperiksaan apa sekalipun, sama ada di sekolah rendah, menengah, pos menengah mahupun dalam peperiksaan kursus- kursus am selepas alam persekolahan, tekanan yang dialami semasa musim ini tidak boleh diketepikan.
Persiapan yang penting bagi seorang guru adalah untuk memastikan bahawa para pelajar saya sudah diajar semua topik- topik yang akan diuji. Tiada yang lebih menggerunkan sebagai seorang guru, daripada tidak memberi pengajaran secukupnya untuk anak didik mereka menempuh peperiksaan. Bayangkan jika guru Sains tidak mengajar semua topik secukupnya, timbul kemungkinan pelajar itu tidak tahu menahu tentang topik tersebut dan tidak dapat menjawab soalan - soalan dalam kertas peperiksaan nanti.
Sebagai guru Bahasa Melayu pula, saya begitu prihatin tentang kemampuan pelajar saya menulis mengenai tajuk- tajuk karangan dalam kertas peperiksaan. Saya akan bertanya, " Sudahkah aku memberi mereka pengajaran yang baik? " " Bolehkah mereka menyusun ayat- ayat untuk menjadi sebuah cerita yang menarik dan bermutu?" Namun, saya juga percaya bahawa setiap pelajar itu seharusnya cuba mengaplikasikan pengajaran di sekolah dengan apa yang disoal semasa peperiksaan.
Jika pelajar itu tidak membuat sebarang persiapan untuk menghadapi peperiksaan, sukar bagi dirinya untuk berasa yakin apabila tiba masanya untuk menjawab soalan. Maka dengan itu, setiap pelajar perlu membuat semua persiapan seawal mungkin. Jika pelajar itu mempunyai kesukaran dalam memahami sesuatu pelajaran, dia mestilah cuba untuk mendapatkan bantuan seawal mungkin. Janganlah tunggu sampai rumah sudah pahat berbunyi.
Selain itu, saya juga percaya bahawa setiap pelajar mempunayi teknik belajar mereka yang tersendiri. Jadi apapun kebolehan mereka saya berharap mereka dapat memberikan yang terbaik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan