Selasa, 25 September 2012

Peperiksaan Yang Menjelang

Tidak dapat dinafikan masa- masa sebelum peperiksaan merupakan masa yang begitu memberi tekanan kepada para pelajar. Tidak kiralah peperiksaan apa sekalipun, sama ada di sekolah rendah, menengah, pos menengah mahupun dalam peperiksaan kursus- kursus am selepas alam persekolahan, tekanan yang dialami semasa musim ini tidak boleh diketepikan.

Persiapan yang penting bagi seorang guru adalah untuk memastikan bahawa para pelajar saya sudah diajar semua topik- topik yang akan diuji. Tiada yang lebih menggerunkan sebagai seorang guru, daripada tidak memberi pengajaran secukupnya untuk anak didik mereka menempuh peperiksaan. Bayangkan jika guru Sains tidak mengajar semua topik secukupnya, timbul kemungkinan pelajar itu tidak tahu menahu tentang topik tersebut dan tidak dapat menjawab soalan - soalan dalam kertas peperiksaan nanti.

Sebagai guru Bahasa Melayu pula, saya begitu prihatin tentang kemampuan pelajar saya menulis mengenai  tajuk- tajuk karangan dalam kertas peperiksaan.  Saya akan bertanya, " Sudahkah aku memberi mereka pengajaran yang baik? " " Bolehkah mereka menyusun ayat- ayat untuk menjadi sebuah cerita yang menarik dan bermutu?" Namun, saya juga percaya bahawa setiap pelajar itu seharusnya cuba mengaplikasikan pengajaran di sekolah dengan apa yang disoal semasa peperiksaan.

Jika pelajar itu tidak membuat sebarang persiapan untuk menghadapi peperiksaan, sukar bagi dirinya untuk berasa yakin apabila tiba masanya untuk menjawab soalan. Maka dengan itu, setiap pelajar perlu membuat semua persiapan seawal mungkin. Jika pelajar itu mempunyai kesukaran dalam memahami sesuatu pelajaran, dia mestilah cuba untuk mendapatkan bantuan seawal mungkin. Janganlah tunggu sampai rumah sudah pahat berbunyi.

Selain itu, saya juga percaya bahawa setiap pelajar mempunayi teknik belajar mereka yang tersendiri. Jadi apapun kebolehan mereka saya berharap mereka dapat memberikan yang terbaik.

Rabu, 29 Ogos 2012

Pengajaran Bahasa Dengan Video

Dari dahulu lagi saya kerap menggunakan video dalam pengajaran BM saya. Pada tahun 2008, semasa saya diundang untuk berkongsi pengajaran saya dengan guru- guru di Singapura semasa Seminar guru BM di Berita Harian, saya terangkan mengapa saya gunakan video dalam pengajaran. Ini disambut baik oleh para guru yang hadir dan mereka semua mulalah bervideo untuk pengajaran mereka juga.

Sebenarnya video memudahkan pengajaran kita. Bahan video menjadi permulaan pengajaran bahasa yang baik. Maka dengan itu saya menggalak pengunnaanya dalam pengajaran bahasa. Untuk tugasan minggu ini, saya mengajak anak didik saya dari kelas 1HML berkongsi video kegemaran mereka dalam blog masing- masing dan menjelaskan mengapa mereka gemarkan video itu. Saya lihat semuanya sudah fasih dan mahir dengan YouTube dan penerangan mereka jelas menunjukkan bahawa video yang mereka gemari amat menarik. Sila lihat di senarai kanan blog ini tentang blog- blog pelajar BM 1 HML.

Bagi saya, video di bawah ini merupakan salah satu video yang paling saya gemari. Ini kerana, ia menunjukkan betapa bahasa itu penting, kita tidak boleh ' assume' sahaja dengan rima dan nada sesuatu bahasa itu tanpa mengerti maknanya. Saya gunakan video ini untuk tutorial Terjemahan saya di Unisim dan pelajar- pelajar di situ semuanya tidak kering gusi dibuatnya. Cuba hayati video ini.

Inilah dia apabila kita melihat sesuatu bahasa itu secara mata kasar, tanpa mengetahui isinya sebenar.



Isnin, 9 Julai 2012

Bulan Bahasa dan Bulan Mulia

Bulan Julai ini merupakan bulan mulia atas dua sebab. Pertama sekali kita semua telah mula bersedia atau menyediakan diri kita untuk menyambut Bulan Ramadan, yang akan bermula pada 21hb Julai 2012 nant. Satu lagi yang mulia bulan ini ialah dengan ketibaan Bulan Bahasa 2012. Walaupun tahun ini hanya separuh bulan sahaja perayaan dan sambutan Bulan Bahasa, ia masih tetap memuatkan pelbagai aktiviti menarik sempena bulan ini. Bukan sahaja aktiviti bahasa yang dirancang bahkan pelbagai aktiviti budaya juga turut dipersembah. Antaranya, saya telah berkesempatan menonton muzikal yang pada saya amat baik sekali, iaitu persembahan Pestariasi - yang memuatkan nyanyian, tarian Melayu dengan baik sekali. Ia amat menarik dan bagi saya amat menghiburkan. Saya rasa jika banyak lagi persembahan seperti ini diadakan, ramai anak- anak Melayu kita akan sentiasa berminat dalam budaya dan bahasa Melayu. Untuk semua pelajar saya, saya berharap kamu semua akan mengikuti aktiviti - aktiviti Bulan Bahasa yang masih ada dengan sebaiknya dan raihlah kelebihan dan keuntungan daripada aktiviti- aktiviti yang diadakan ini Sekurang- kurangnya jika tidak sempat, belajarlah lagu Bulan Bahasa dan selami maksud kekata yang ada di dalamnya.


Lungsuri Lelaman Majlis Bahasa Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti- aktiviti bulan bahasa tahun ini. Sila klik di sini untuk meninjau yang mana pilihan hati.

Setelah belajar menyanyi , melalui aktivitiyan disediakan sempena Bulan Bahasa, siapkanlah pula  diri kamu semua untuk menyambut Buala Ramadan yang mulia pula ya...

Rabu, 7 Mac 2012

Penggunaan Ialah dan Adalah

Saya mengajak pelajar - pelajar saya memikirkan dan mencari cara betul bagi penggunaan 'ialah' dan 'adalah' dalam kelas Bahasa Melayu mereka minggu lepas. Mereka ghairah membaca dari dalam talian dan juga mengemaskini blog mereka dengan cara- cara penggunaan ' ialah' dan 'adalah'. Saya juga mengajarkan mereka membuat komik dengan dialog yang bersangkutan dengan ialah dan adalah', saya menunjukkan mereka cara- cara membuat komik ini dan dalam 5 minit,komik strip ini terhasil...

Nah sekarang dengan mudah mereka dapat melihat dengan sekali pandang sahaja penggunakan ialah dan adalah dalam penulisan mereka.

Isnin, 20 Februari 2012

Mengulas dan Ulasan

Saya memberitahu pelajar- pelajar saya agar mengulas atau komen tentang entri di blog- blog kawan- kawan mereka, namun mereka masih terkial- kial, terutama sekali pelajar Menengah 1. Saya jadi bingung, saya yang sah sudah tua ini masih boleh menggunakan teknologi, tetapi mereka yang muda belia ini macam slow sahaja saya lihat... saya rasa mereka bukan tidak tahu, tetapi berasa janggal dan kekok menggunakan komputer dengan seratus peratus bahasa Melayu. Mereka masih belum boleh melatih jari-jemari mereka menaip kekunci komputer mereka dalam bahasa Melayu. Namun saya tidak mahu mereka berputus asa, saya berjanji sekurang-kurangnya seminggu sekali mereka perlu mengemaskinikan blog dan memuatkannya dengan pelajaran BM mereka. Mari kita lihat bagaimana perkembangan mereka hari demi hari nanti.

Khamis, 16 Februari 2012

Mengapa Saya Pilih Nama Blog ini

Apakah maksudnya Pendita? Menurut Kamus Dewan edisi keempat, pendeta itu maksud pertamanya -merupakan seorang yang berintelek tinggi atau seorang ulama keagamaan Kristian atau Hindu. Saya memilih maksud pertama bahawa seseorang itu perlu berintelek tinggi sebelum dia boleh digelar pendita.

Sebenarnya ramai orang tidak menyangka mereka kadang- kadang melakukan aktiviti serta kelakuan hampir serupa dengan seorang pendita. Pendita itu seorang yang senantiasa suka berfikir, dan dengan berfikir melahirkan idea yang cemerlang dan mungkin membawa manfaat kepada orang lainnya. Pendita itu rajin meluahkan isi hati dan tidak pula jemu mendekati ilmu. Pendita itu seorang yang kaya dengan pengetahuan, pengajaran dan ilmu yang mendalam. Namun adakah cukup dengan ilmu pengetahuan dan kelulusan yang tinggi mencakar langit itu menjadikan seseorang itu seorang pendeita? Adakah sebarang sifat serta sikap lain yang boleh menjadikan seseorang itu seorang yang bergelar Pendita? Jadi saya ingin bertanya, sebenarnya, bilakah seorang itu digelar Pendita, bagaimana beliau boleh dikatakan pendita, dan apakah kita sendiri boleh menjadi seorang pendita? Cubalah kita renungkan bersama.

 Penditakah Socrates?

Penditakah Za'ba ?

Penditakah Steve Jobs?

Mengajak Pelajar Menengah Satu Ber-blog

Semalam saya membawa lima belas pelajar menengah satu untuk berblog dalam bahasa Melayu. Alangkah penatnya saya mengulang- ulang arahan supaya mereka memulakan blog Bahasa Melayu namun setelah dua hari mereka masih terkial - kial dan masih belum tahu selok - belok berblog. Apakah matlamat saya mengajak mereka berblog, selain mengikut kehendak buku teks, saya rasa blog banyak manfaatnya. Objektif utama saya ialah :
1. agar pelajar boleh berasa bahawa BM boleh digunakan dalam alam maya
2. agar pelajar melatih diri menggunakan BM
3. agar pelajar dapat merekod atau merakamkan pembelajaran BM mereka dari menengah 1 hingga  menengah 4.
4. agar pelajar berkeyakinan menulis dan berfikir dalam BM
5. agar pelajar tahu menggunakan BM sebaik- sebaiknya
6. agar pelajar membiasakan diri merakam fikiran, idea dan perasaan.

Nah, dengan ini, tidak dapat disangkal pembelajaran BM ini kelihatan seperti main- mainan sahaja, namun sebenarnya, ia betul- betul mendekatkan hari pelajar kepada nadi pembelejaran bahasa yang baik dan berkesan. Inshallah hasilnya akan dapat dikecapi dalam masa yang singkat sekali...